TAUTAN UKHWAH

12 June 2009

Wasilah dan Kepentingan Usrah Dalam Tarbiah


Apabila kita menyebut wasilah atau kaedah kita bekerja, terdapat unsur-unsur yang perlu difahami antaranya ialah wa’I (sedar) dan waqi’I (realistik). Kita hendaklah sedar bahawa kita ialah pendakwah dan bukannya penghukum atau qadhi. Tugas kita adalah untuk berusaha semaksimum mungkin untuk memanggil dan mengajak, bukan untuk berebut mahupun memaksa. Dalam hal ini, dua wasilah kita gunakan, iaitu wasilah umum dan wasilah khusus.

Dalam wasilah umum, tugas kita adalah untuk menyampaikan Islam kepada umum dengan dakwah sama ada dengan lisan, tulisan mahupun dengan qudwah hasanah (contoh teladan yang baik). Kita hendaklah menerangkan apa itu Islam yang syamil (menyeluruh) dan apa itu aqidah yang benar. Kesemuanya ini perlu kembali kepada pentafsiran al-Quran dan al-Sunnah oleh ahlinya dan bukan yang diabstrakkan oleh ahli fikir semata-mata.

Kita mengadakan majlis ilmu, majlis masyarakat dengan unsur-unsur Islam dan majlis-majlis lain yang boleh kita sampaikan mesej Islam. Marhalah ini dikenali sebagai marhalah al-ta’rif (pengenalan) yang kandungan utamanya ialah Islam dan iman, bukannya perkumpulan. Hanya apabila telah diyakini bahawa mad’u (sasaran dakwah) dapat menerima konsep Islam sebagai al-Din yang syamil barulah dipindahkan usaha kita kepada wasilah khusus.

Dalam wasilah khusus, konsep ‘amal jama’i ialah unsur yang ditekankan dan di sinilah bermulanya kepentingan usrah sebagai satu unit terpenting dalam gerakan. Dalam wasilah ini ada dua marhalah yang perlu dilalui iaitu takwin (pembentukan) dan tanfiz (pelaksanaan).

Dalam marhalah al-takwin, unsur-unsur yang telah dikenal pasti dan yang dapat menerima konsep yang telah dijelaskan tadi hendaklah dipupuk dengan satu canaian seperti yang disebut oleh Sheikh Sa’id Hawwa sebagai nizam al-da’wah yang berbentuk sufi pada rohnya dan ketenteraan dalam amalannya, yang syiarnya ialah perintah dan taat.

Ikhwah hendaklah melatih diri untuk sentiasa berada dalam keadaan peka dan bersedia menerima arahan dan tanggungjawab kerja. Marhalah inilah yang dikenali sebagai tajnid untuk membentuk satu barisan kader yang telah mempunyai satu tasawur yang jelas terhadap Islam dan matlamat perjuangan. Di sini beberapa pengorbanan diperlukan dan pengorbanan akan merupakan sebab kepada peningkatan iman dan Islam kita kerana proses pencernaan akan berlaku dan beberapa ujian akan mula dirasakan.

Marhalah al-tanfiz, marhalah kedua, ialah marhalah sebenar yang akan menguji komitmen kita terhadap segala teori yang telah kita jalani. Dalam marhalah ini kita akan benar-benar berada di tengah-tengah medan juang dan di sinilah batas yang akan menguji keikhlasan kita kepada Allah Aza Wa Jalla.

Banyak orang yang boleh berteori dan banyak orang pula yang boleh menyatakan Islam itu syamil dan kamil tetapi belum tentu yang banyak itu akan sanggup menanggung berbagai-bagai mehnah dan ibtila’ (tribulasi dan ujian) yang akan berada di hadapannya.

Konsep Islam itu tinggi dan tidak ada yang lebih tinggi daripada Islam akan terbukti kalau kita berani membenarkan dan membawa Islam itu ke tengah-tengah medan tanpa mengira sebarang halangan yang didatangkan oleh manusia sama ada harta, kedudukan, pangkat, nama dan sebagainya.

USRAH SEBAGAI TUNJANG DALAM TARBIAH HARAKIAH

Proses tarbiah Islamiah adalah satu proses pendidikan dan pembentukan yang bukan semata-mata satu proses pembelajaran ilmu.
Usrah yang berasal daripada perkataan Arab yang membawa makna keluarga, merupakan satu medan untuk ahlinya bersama-sama menjalani satu proses pembentukan yang dibina di atas semangat al-ukhuwwah al-Islamiyah. Proses pembentukan itu bermakna makna penekanan dan perbincangan dalam usrah mencakupi satu bidang yang luas dan menyeluruh.

Penekanan itu ialah terhadap unsur-unsur yang akan melahirkan peningkatan dalam kefahaman dan penghayatan Islam sebagai sistem yang syamil wa mutakamil (lengkap lagi melengkapi). Penekanan itu akan melahirkan semangat juang dan ketahanan secara berjamaah.

Dengan demikian haruslah diingatkan bahawa usrah hendaklah merupakan satu kelompok pendidikan yang akan melahirkan ‘amilin (para pekerja) dan bukannya sekadar mufakkirin (golongan yang berfikir) walaupun kita tidak menafikan kepentingan orang-orang yang berfikir.

Usrah sebagai unit terpenting dalam gerakan Islam memerlukan satu bentuk penyusunan yang rapi kerana kita meyakini bahawa kebenaran yang tidak disusun rapi akan di atasI oleh kebatilan yang kemas. Sehubungan itu, organisasi usrah di setiap peringkat hendaklah diawasi sepanjang masa agar pelaksanaannya yang berkesan akan menguntungkan Islam dan jamaah.


PENTADBIRAN USRAH

Setiap naqib hendaklah memastikan agar perjalanan usrahnya diatur rapi dan kemas--jangan sampai ke peringkat yang boleh membosankan ahli-ahli usrah. Dalam hubungan ini, isi usrah janganlah dijumudkan dengan hanya membaca teks dan menghafal. Sebaliknya, pelaksanaan usrah hendaklah dipelbagaikan bertepatan dengan ciri tarbiah yang menekankan setiap aspek Islam. Kepelbagaian boleh dilakukan dalam bentuk pembacaan, perbincangan, rehlah (perkelahan), riadah (sukan), majlis qiamullail dan sebagainya.
Usrah mempunyai beberapa ciri yang membezakannya daripada nizam al-tarbiyah yang lain dan antara ciri tersebut ialah:


Usrah bersifat mutawasil (berterusan): Sesuatu pembentukan yang bersifat sekali sekala atau terputus-putus tidak akan dapat mencapai kesan yang diharapkan. Ciri ini akan membantu proses perkembangan dan penghayatan secara yang lebih berkesan.

Usrah merangkumi semua ahli sama ada pengikut, pekerja mahupun pemimpin. Pastikan tidak ada ahli yang terlepas daripada program tarbiah.

Dirancang dengan rapi dari semua sudut.

Dilaksanakan secara bersungguh-sungguh oleh nuqaba’ dan ahli.

Antara ciri keberkesanan sesuatu usrah ialah apabila persoalan di bawah ini ditanya, jawapannya dapat diberikan dengan sempurna:

Sejauh mana peningkatan ahli dalam penghayatan Islam?

Sejauh mana konsep al-ta’awum (bekerjasama) di kalangan ahli dalam membantu proses penghayatan Islam?

Sejauh mana ikatan dibentuk?

Sejauh mana pula pelaksanaan ikatan itu dalam bentuk amalan?

Akhirnya marilah kita sama-sama membaharui syahadah perjuangan kita dengan mengulangi ucapan Allahu rabbuna (Allah tuhan kami), al-Rasul za’imuna (Rasul pemimpin kami), al-Quran dusturuna (al-Qur’an perlembagaan kami), al-jihad sabiluna (jihad jalan kami) dan al-maut fi sabilillah asma amanina (mati dijalan Allah adalah cita-cita tertinggi kami).
Sesungguhnya Islam tidak berhajat kepada kita tetapi kitalah yang berhajat kepada Islam dan hajat ini tidak akan dapat dipenuhi kalau keindahan dan kesyumulan Islam itu hanya kita teorikan dan tidak dicernakan dalam amalan dan perbuatan kita.

01 June 2009

HAKIKAT JIHAD DALAM ISLAM


Jihad merupakan puncak kekuatan dan kemuliaan Islam. Orang yang berjihad akan menempati kedudukan yang tinggi di syurga.

Secara umum, hakikat jihad mempunyai makna yang sangat luas iaitu berjihad melawan hawa nafsu, syaitan, dan orang-orang fasik dari kalangan ahli bid’ah dan maksiat.

Sedangkan menurut syara’, jihad adalah mencurahkan seluruh kemampuan untuk memerangi orang kafir. Sehingga dapat disimpulkan, jihad itu merangkumi empat bahagian :

A)Jihad melawan hawa nafsu meliputi empat masalah iaitu:-

i) berjihad melawan hawa nafsu dalam mencari dan mempelajari kebenaran agama

yang haq.

ii) berjihad melawan hawa nafsu dalam mengamalkan ilmu yang telah didapatkan.

iii) berjihad melawan hawa nafsu dalam mendakwahkan ilmu dan agama yang haq.

iv) berjihad melawan hawa nafsu dengan bersabar dalam mencari ilmu, beramal dan

dalam berdakwah..

B)Jihad melawan syaitan yang dapat dilakukan dengan dua cara:-

i) dengan menolak syubhah dan keraguan yang dapat mencederai keimanan

ii) dengan menolak keinginan-keinginan hawa nafsu yang merosak.

C)Berjihad melawan orang-orang fasik, pelaku kezaliman, pelaku bid’ah dan pelaku kemungkaran

“Barangsiapa membuat perkara yang baru atau mendukung pelaku bid’ah, maka dia terkena laknat Allah, malaikat dan seluruh manusia” [HR Bukhari dan Muslim]

Berjihad melawan orang fasik dengan lisan merupakan hak orang-orang yang memiliki ilmu dan kalangan para ulama iaitu dengan cara menegakkan hujjah dan membantah hujjah mereka, serta menjelaskan kesesatan mereka, baik dengan tulisan ataupun dengan lisan. Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah menyatakan : “Yang membantah ahli bid’ah adalah mujahid” [Lihat Al-Fatawa 4/13]

Syaikhul Islam juga mengatakan : “Apabila seorang mubtadi menyeru kepada aqidah yang menyelisihi Al-Qur’an dan Sunnah, atau menempuh manhaj yang bertentangan dengan Al-Qur’an dan Sunnah, dan dikhawatirkan akan menyesatkan manusia, maka wajib untuk menjelaskan kesesatannya, sehingga orang-orang terjaga dari kesesatannya dan mereka mengetahui keadaannya” [Lihat Al-Fatawa 28/221]

Oleh kerana itu, membantah ahli bid’ah dengan hujjah dan perbalahan, menjelaskan yang haq, serta menjelaskan bahaya aqidah ahli bid’ah merupakan sesuatu yang wajib untuk memastikan 'kebersihan' agama Islam.Menolak pendustaan ahli bid’ah merupakan fardu kifayah kerana ketahuilah, kerosakan yang ditimbulkan dari perbuatan mereka, lebih berbahaya daripada berkuasanya orang kafir. Ini adalah kerana, kerosakan orang kafir dapat diketahui oleh setiap orang, sedangkan kerosakan pelaku bid’ah hanya diketahui oleh orang-orang alim. Adapun berjihad melawan orang fasik dengan tangan, maka ini menjadi hak bagi orang-orang yang memiliki kuasa, iaitu dengan cara menegakkan hudud (hukuman) terhadap setiap orang yang melanggar hukum-hukum Allah dan RasulNya. Sebagaimana pernah dilakukan Abu Bakar dengan memerangi orang-orang yang menolak membayar zakat, Ali bin Abi Thalib memerangi orang-orang Khawarij dan orang-orang Syi’ah Rafidhah.

D)Jihad melawan orang-orang munafik dan kafir

Al-Imam Ibnu Qayyim menyatakan, jihad memerangi orang kafir adalah fardhu ‘ain ; dia berjihad dengan hatinya, atau lisannya, atau dengan hartanya, atau dengan tangnnya ; maka setiap muslim berjihad dengan salah satu di antara jenis jihad ini. [Lihat Zadul Ma’ad 3/64]

Akan tetapi, berjihad memerangi orang kafir dengan tangan hukumnya fardhu kifayah, dan tidak menjadi fardhu ‘ain, kecuali jika terpenuhi salah satu dari empat syarat berikut ini :

i) Apabila dia berada di medan pertempuran

ii) Apabila negerinya diserang musuh. Syaikhul Islam Ibnu Taimiyyah mengatakan ;

“Apabila musuh telah masuk menyerang sebuah negara Islam, maka tidak

diragukan lagi wajib bagi kaum muslimin untuk mempertahankan negaranya

dan setiap negara yang terdekat, kemudian yang dekat, karena negara-negara

Islam adalah seperti satu negara”

(Al-Ikhtiyarat : 311) Jihad ini dinamakan Jihad Difa’.

iii) Apabila diperintah oleh Imam (Amirul Mukminin) untuk berperang

iv) Apabila dibutuhkan, maka jihad menjadi wajib. [Lihat al-Mughni, Al-Majmu’,

Zaadul Mustaqni]

Pensyariatan jihad menentang orang kafir (dengan tangan), melalui tiga tahap iaitu:-

i) Diizinkan bagi kaum muslimin untuk berperang dengan tanpa diwajibkan.

Allah berfirman. “Telah diizinkan (berperang) bagi orang-orang yang diperangi, karena sesungguhnya mereka telah dianiaya. Dan sesungguhnya Allah, benar-benar Maha Kuasa menolong mereka itu” [Al-Hajj : 39]

ii) Perintah untuk memerangi setiap orang kafir yang memerangi kaum muslimin.

Allah berfirman. “Dan perangilah di jalan Allah orang-orang yang memerangi kamu, (tetapi) janganlah kamu melampaui batas, karena sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas” [Al-Baqarah : 190]

iii) Perintah untuk memerangi seluruh kaum musyrikin sehingga agama Allah tegak di muka

bumi.

“Dan perangilah musyrikin itu semuanya sebagaimana mereka memerangi semuanya ; dan ketahuiilah bahwasanya Allah beserta orang-orang yang bertaqwa” [At-Taubah : 36]

Tahap yang ketiga ini tidak dimansuhkan sehingga hari qiamat. Ini bermaksud, berjihad menentang orang kafir adalah wajib sehingga qiamat.

Syaikh Ibnu Baz rahimahullah berkata : “Marhalah (tahapan) yang ketiga ini tidak dimansuh, tetap wajib sesuai dengan kondisi kaum muslimin” [Fadlu Al-Jihad Wal Mujahidin, 2 : 440]

DOA PILIHAN

DOA DAPAT PELUANG PERNIAGAAN DAN MURAH REZEKI

اللَهُمَّ اجْعَلْنِي مِنْ أَعْظَمِ عِبَادِكَ نَصِيباً فِي كُلِّ خَيْرٍ تَقْسِمُهُ فِي الغَدَاةِ مِنْ نُورٍ تَهْدِي بِهِ، وَرَحْمَةٍ تَنْشُرُهَا، وَرِزْقٍ تَبْسُطُهُ، وَضُرٍّ تَكْشِفُهُ، وَبَلاءٍ تَرْفَـعُهُ، وَفِتْـنـَةٍ تَصْرِفُهَا، وَسُوءٍ تَدْفَـعُـهُ.
Maksudnya: “Ya Allah, jadikanlah aku antara kalangan hambaMu yang mendapat bahagian (pencapaian) yang hebat pada nur yang Engkau kurniakan sebagai hidayah, dan rahmat yang Engkau kurniakan, dan rezki yang Engkau sebarkan, dan mudharat yang Engkau selamatkan ( dari menimpa hamba-hambaMu ), dan bala yang Engkau angkatkan( dari menimpa hamba-hambaMu ), dan fitnah yang Engkau jauhkan( dari menimpa hamba-hambaMu ), dan keburukan yang Engkau hindarkan
( dari menimpa hamba-hambaMu )”