TAUTAN UKHWAH

21 January 2011

Boria USIM di MHI dan Polemik Facebook

Boria USIM di MHI dan Polemik Facebook
On 19/01/2011, in Teladan Hidup, by Abu Saif | 7,450 views | Print | Email | ....

Kredit foto: usimkini.blogspot.com

“Astaghfirullah” saya menggosok mata.

Seperti tidak percaya dengan apa yang dilihat.

Saya sedang menunggu isteri menghabiskan ward round di hospital, dan mengisi sedikit masa yang ada dengan menonton rancangan MHI di TV3.

Siapa tidak kenal boria? Sama seperti dikir barat di Kelantan, boria adalah satu ekspresi budaya yang terkenal di negeri Pulau Pinang. Ia adalah satu cabang seni yang ada tatacara dan ilmunya. Budaya warisan. Soal suka atau tidak suka, ia terpulang kepada kecenderungan peribadi masing-masing. Ada yang lega dengan Jazz, ada yang rasa bahagia dengan Dangdut.

Genre.

Tetapi apa yang terpampang di depan mata saya ini ialah Boria yang mengelirukan. Belum pernah saya melihat Boria dipersembahkan dengan mencampur adukkannya bersama lagu genre Samba nyanyian Zur Eda. Namun lebih mengelirukan saya ialah apabila kumpulan tersebut memperkenalkan diri mereka sebagai kumpulan Boria Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).


Seperti biasa, Facebook menjadi tempat hal ini dibualkan.

Saya bertanya dengan nada sinikal, apa kaitan sebuah universiti berteraskan Sains dan Islam, dengan Boria Samba yang dipersembahkan itu.

“Boria USIM? Ya amatlah Saintifik dan Islamiknya ia!” demikian bunyi status di akaun Facebook saya.

Komen berkenaan pantas mendapat maklum balas rakan-rakan lain yang sebahagiannya turut menonton persembahan yang ganjil berkenaan. Tidak tertangkap di mata atau telinga saya, kumpulan yang membuat persembahan itu adalah pemenang tempat ketiga Festival Majlis Kebudayaan Universiti-Universiti Malaysia (FESTKUM) Disember tahun lalu.

Tiada siapa yang mengetahui di kalangan rakan Facebook bahawa kumpulan ini juga berada di bawah naungan unit Kebudayaan & Kesenian (UKK) USIM.

Boria biasa muncul di mana-mana. Samba juga wujud dalam budaya masyarakat. Namun mencampur adukkan ia, dan diperkenalkan sebagai budaya kebanggaan sebuah universiti, saya kebingungan.

KASUAL JADI RASMI

Akan tetapi, saya sama sekali tidak menyangka bahawa perbualan kasual di Facebook itu telah diskrin cetak dan disiarkan di sebuah halaman web yang dikenali sebagai USIMKINI. Ia adalah sebuah halaman web yang dikunjungi oleh warga USIM sama ada daripada kalangan mahasiswa dan mahasiswinya, mahu pun kakitangan IPTA tersebut. Komen di Facebook yang kasual dalam ruang lingkup yang terbatas itu, dilaporkan di halaman web USIMKINI sebagai ‘pandangan rasmi’ saya berkenaan Boria USIM. Tindakan janggal bagai tidak dapat membezakan antara perbualan seorang rakan dengan rakan-rakannya, dengan apa yang dikonotasikan sebagai ‘kenyataan rasmi’.

Dalam tempoh yang singkat, ia telah mencetuskan kacau bilau.

Saya menerima dengan lapang dada, teguran semua pihak bahawa saya boleh memilih perkataan yang lebih terhormat semasa mengkritik aset kebanggaan USIM ini. Ia menjadi pengajaran yang berharga buat saya.

Akan tetapi, pendirian saya yang bersifat substantial tidak berubah.

Budaya itu adalah suatu keaiban yang tidak layak untuk didukung oleh mahasiswa sebuah IPTA yang membawa nama Sains dan Islam. Andai ada yang masih mahu mempertahankan Boria USIM sebagai ekspresi aras menara gading, saya berlepas diri.

Kejadian ini sangat mencelikkan mata saya agar menambah baik bahasa di Facebook. Saya beristighfar dan memohon ampun daripada Allah atas ketelanjuran lisan saya sebagai manusia. Juga saya memohon maaf kepada penari-penari Boria USIM jika komen saya diambil secara personal.

I have nothing personal against any of you.

Moga diampunkan oleh-Nya.

REFLEKSI USIM SENDIRI

Namun apakah kejadian ini mampu mencelikkan mata USIM agar lebih bertanggungjawab dalam menghormati serta membawa nama ISLAM yang diberikan Allah kepada Syariat Muhammad sallallaahu alayhi wa sallam?

Jangan sampai ayat ini menjadi kesimpulannya:

“Oleh itu, biarkanlah mereka (Wahai Muhammad) tenggelam dalam kesesatannya dan leka bermain-main (dalam dunianya), sehingga mereka menemui hari yang dijanjikan kepada mereka (untuk menerima balasan)!” [Al-Ma'aarij 70: 42]


Saya cemburu dengan huruf ‘I’ pada nama institusi anda!

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 AMPANG

No comments:

Post a Comment

DOA PILIHAN

DOA DAPAT PELUANG PERNIAGAAN DAN MURAH REZEKI

اللَهُمَّ اجْعَلْنِي مِنْ أَعْظَمِ عِبَادِكَ نَصِيباً فِي كُلِّ خَيْرٍ تَقْسِمُهُ فِي الغَدَاةِ مِنْ نُورٍ تَهْدِي بِهِ، وَرَحْمَةٍ تَنْشُرُهَا، وَرِزْقٍ تَبْسُطُهُ، وَضُرٍّ تَكْشِفُهُ، وَبَلاءٍ تَرْفَـعُهُ، وَفِتْـنـَةٍ تَصْرِفُهَا، وَسُوءٍ تَدْفَـعُـهُ.
Maksudnya: “Ya Allah, jadikanlah aku antara kalangan hambaMu yang mendapat bahagian (pencapaian) yang hebat pada nur yang Engkau kurniakan sebagai hidayah, dan rahmat yang Engkau kurniakan, dan rezki yang Engkau sebarkan, dan mudharat yang Engkau selamatkan ( dari menimpa hamba-hambaMu ), dan bala yang Engkau angkatkan( dari menimpa hamba-hambaMu ), dan fitnah yang Engkau jauhkan( dari menimpa hamba-hambaMu ), dan keburukan yang Engkau hindarkan
( dari menimpa hamba-hambaMu )”