(Dipetik daripada warkah Salahuddin Ayub)
Sorotan perjuangan ulama dan kemerdekaan
Samada kita sedari atau tidak, denai sejarah telah merakamkan perjuangan suci para ulama membentengi aqidah umat Islam semenjak Negara kita menerima pengaruh Islam pada abad ke-13. Ulama kita yang berkubu di Pusat-pusat Pengajian Islam telah memancar kekuatan kepada umat Islam bagi berhadapan dengan kuasa penjajah dan serangan pemikiran ‘ghazwatul fikri’ mereka. Dalam cerminan sejarah ini, tersuluh kehebatan ulama seperti Adipati Yunus di Melaka berjihad menentang Portugis, Tuan Guru Haji Hassan bin Munas ( Tok Janggut ) yang bangkit bermandi darah di Pasir Puteh, Kelantan pada tahun 1915. Di Terengganu pula, Tuan Guru Haji Abdul Rahman Limbong, Tuan Guru Haji Musa Minangkabau telah memimpin kebangkitan ummah, menentang kemaraan penjajah British yang cuba memijak kemuliaan Syariat Islam. Penjajah Siam yang telah menyerang negeri Melayu Utara juga menghadapi tentangan sengit daripada alim ulama seperti Sheikh Abdul Samad al Palembani.
Sumbangan Gerakan Islam terhadap proses kemerdekaan negara
Kehadiran gerakan Islam di tengah-tengah percaturan politik orang Melayu selepas perang Dunia Pertama dan Kedua yang dimonopoli oleh PKMM dan Umno telah menimbulkan keresahan kepada pihak yang bekerjasama dengan British. Pengalaman British dengan umat Islam Othmaniyyah Turki (1914-1918), Mekah (1910-1915) dan Palestin (1924-1948) telah meletakkan British begitu anti dengan gerakan Islam. Kerana itu, parti yang menjadi agen British mesti mengekang kebangkitan gerakan Islam dengan apa cara sekalipun. Umno yang ditubuhkan oleh golongan feudal Melayu berpendidikan Inggeris memperlihatkan realiti ini.
Kemunculan Majlis Tertinggi Agama Malaya (MATA) pada 24 Mac 1947 telah menyebabkan Umno mulai memberikan perhatian kepada hal ehwal agama, pendidikan Islam dan usaha-usaha mempengaruhi para ulama supaya menyokong mereka. Tindakan Umno mewujudkan Derma Pelajaran Tinggi sebaik sahaja MATA mewujudkan LEPIR dan Derma Pelajaran MATA pada Julai 1947 membuktikan kebimbangan ini bertali arus semenjak Dato Onn menuduh MATA sebagai “bahaya dari gunung”.
Sebaik sahaja Sidang Majlis Tertinggi Agama Malaya (MATA) pada 14 Mac 1948 selesai dan hasrat menubuhkan sebuah parti Islam di Tanah Melayu berjaya dengan penubuhan Hizbul Muslimin (HM), maka pemimpin gerakan Islam itu mulai mengatur langkah untuk memerdekakan Tanah Melayu, membentuk masyarakat Islam dan mewujudkan Tanah Melayu sebagai Darul Islam. Ustaz Abu Bakar Al-Baqir, Ketua Umum Hizbul Muslimin bersama jawatankuasanya telah berusaha melebarkan pengaruh Hizbul Muslimin ke seluruh tanah air dan memberikan imej baru kepada Islam sebagai cara hidup masyarakat.
Kehadiran gerakan Islam semenjak 1947 sehingga merdeka, selama satu dekad tetapi penuh dengan warna perjuangan. Umno yang ditubuh oleh anak didik British dan diiktiraf oleh British sebagai parti yang diberi peluang untuk memperjuangkan kemerdekaan terpaksa membelakangkan banyak kepentingan Islam demi menjaga hubungan dengan British. Umno bukan sahaja menabur fitnah, tetapi turut berusaha menyaingi gerakan Islam walaupun membiarkan umat Islam sedunia terus ditindas oleh British. Ternyata kehadiran MATA (1947), Hizbul Muslimin (1948) dan PAS (1951) merupakan ancaman yang besar kepada gerakan kebangsaan Umno.
Pada era 1900-1940 boleh dikatakan gerakan Islam adalah merupakan gerakan utama yang mencetuskan idea kemerdekaan, penentangan terhadap penjajah dan pendaulatan semula cara hidup Islam. Walaupun mereka tidak berjaya menguasai tampuk politik tanah air, tetapi peranan yang besar di sumbangkan oleh mereka telah memungkin umat Islam bangkit untuk menuntut kemerdekaan dan mendesak masyarakat supaya meletakkan Islam di tempat yang sewajarnya. Perjuangan mereka melalui media massa, pendidikan, oraganisasi separa politik dan penentangan fizikal telah diterjemahkan semula dalam versi baru oleh Hizbul Muslimin (1948) dan Persatuan Islam SeMalaya (1951) sebagai sebuah gerakan politik Islam yang bercita-cita mendaulatkan Islam sebagai cara hidup masyarakat negara ini.
Peranan Institusi pendidikan dan tokoh-tokoh negarawan dalam memacu kemerdekaan negara
Menurut YTM Dr Raja Nazrin, Raja Muda Perak di dalam titah baginda di Muzakarah Ulama’ pada 5 Julai 2007, “Maahad al Ehya as Shariff, Madrasah Diniah Padang Rengas, Madrasah al Idrisiah di Kuala Kangsar,The Malay College Kuala Kangsar dan Sultan Idris Training College merupakan tapak-tapak awal yang dinyalakan semangat kesedaran bangsa. Antara tokoh-tokoh yang terlibat aktif menyalakan semangat kesedaran bangsa adalah Dr Burhanuddin al Helmy, Ustaz Abu Bakar al-Bakir, Ustaz Baharuddin Abdul Latif, Dr Zulkifli Muhammad, Syeikh Junid Tola dan Syeikh Mohamad Tahir Jalaluddin.”
Berdasarkan latar belakang sejarah ulama dan kemerdekaan yang telah diutarakan, dengan ini Dewan Pemuda PAS Pusat berpendirian tegas bahawa;
1. Penyelewengan fakta sejarah adalah suatu bentuk kezaliman dan ketidakadilan yang nyata. Justeru, kami menentang sekeras-kerasnya pembohongan ini dan tidak sama sekali meredhai ia terus berlaku. Kami akan terus memperjuangkan tokoh-tokoh kemerdekaan yang dilenyapkan namanya dalam catatan-catatan sejarah yang ada sehingga ke hari ini lantaran kepentingan politik murahan pihak pemerintah tanpa menghiraukan kebenaran dan ketelusan fakta-fakta yang diketengahkan.
2. Sambutan Kemerdekaan Negara pada 31 Ogos 2007 merupakan pengkhianatan terbesar sepanjang rekod sambutan ulang tahun kemerdekaan. Ini kerana sambutan pada malam 31 Ogos 2007 yang lalu telah disaratkan dengan propaganda rekaan Barisan Nasional khususnya demi kepentingan pilihanraya ke-12 yang dijangkakan belaku dalam jangka masa terdekat ini.
3. Sambutan Kemerdekaan Negara pada malam 31 Ogos 2007 merupakan penyelewengan dan salah guna kuasa yang terbesar dalam sejarah negara. Ini kerana seluruh jentera kerajaan digunakan bagi meraikan sambutan perayaan parti kerajaan UMNO dan Barisan Nasional semata-mata. Apa kaitannya sambutan kemerdekaan yang melibatkan seluruh jentera kerajaan dengan parti komponen UMNO dan Barisan Nasional? Adakah rakyat dipaksa untuk menyokong parti kerajaan Barisan Nasional dan mereka tidak ada hak menyatakan pendirian mereka. Bukankah ini sebuah negara demokrasi?
4. Kami amat mengesali kerana Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KeKKWa) selaku hos Sambutan Kemerdekaan Negara kerana gagal mengendalikan sambutan kemerdekaan pada tahun ini di atas paksi kebenaran dan keadilan sejarah bahkan ternyata telah menafikan fakta-fakta kemerdekaan, sebaliknya cuba mengangkat parti pemerintah semata-mata sebagai pejuang kemerdekaan yang sebenar.
5. Jasa dan sumbangan yang telah dicurahkan golongan ulama demi perjuangan menuntut kemerdekaan tanah air dari kuasa cengkaman penjajah perlu dihargai. Pengorbanan darah dan air mata golongan ulama ini perlulah diberikan hak yang sewajarnya dalam penulisan-penulisan akademik mahupun catatan-catatan ilmiah agar generasi masa hadapan dapat mengetahui dan menghayati perjuangan dan sumbangan mereka terhadap kemerdekaan negara.
TAUTAN UKHWAH
24 August 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
DOA PILIHAN
DOA DAPAT PELUANG PERNIAGAAN DAN MURAH REZEKI
اللَهُمَّ اجْعَلْنِي مِنْ أَعْظَمِ عِبَادِكَ نَصِيباً فِي كُلِّ خَيْرٍ تَقْسِمُهُ فِي الغَدَاةِ مِنْ نُورٍ تَهْدِي بِهِ، وَرَحْمَةٍ تَنْشُرُهَا، وَرِزْقٍ تَبْسُطُهُ، وَضُرٍّ تَكْشِفُهُ، وَبَلاءٍ تَرْفَـعُهُ، وَفِتْـنـَةٍ تَصْرِفُهَا، وَسُوءٍ تَدْفَـعُـهُ.Maksudnya: “Ya Allah, jadikanlah aku antara kalangan hambaMu yang mendapat bahagian (pencapaian) yang hebat pada nur yang Engkau kurniakan sebagai hidayah, dan rahmat yang Engkau kurniakan, dan rezki yang Engkau sebarkan, dan mudharat yang Engkau selamatkan ( dari menimpa hamba-hambaMu ), dan bala yang Engkau angkatkan( dari menimpa hamba-hambaMu ), dan fitnah yang Engkau jauhkan( dari menimpa hamba-hambaMu ), dan keburukan yang Engkau hindarkan
( dari menimpa hamba-hambaMu )”
No comments:
Post a Comment